Ramai yang masih tidak memahami apa itu konsep hibah dalam Islam, dalam perkongsian ni akan diterangkan mengenai konsep hibah mengikut Islam yang sebenar.
Dalam Islam, hibah adalah salah satu cara untuk memiliki harta yang sah berdasarkan syarak. Ini berkait rapat dengan konsep pemilikan harta lain, seperti wasiat, wakaf dan faraid. Walau bagaimanapun, undang-undang dan ciri konsep ini berbeza antara satu sama lain.
Hibah secara linguistik/bahasa bermaksud pemberian, antaranya dalam bentuk ain atau manfaat, dan menurut ajaran Islam, Hibah adalah kontrak (‘iwad) yang mana seseorang itu secara sukarela memberikan hartanya kepada orang lain selama dia masih hidup.
Pensyariatan Hibah Mengikut Islam
Hibah salah satu amalan sunat yang digalakkan dalam Islam . Ini berdasarkan bukti dari Al-Quran, Ijmak dan Sunah.
Dapat dilihat bahawa Allah SWT bermaksud:
“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 4)
“Dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” (Surah al-Baqarah ayat 177)
Selain daripada dalil yang terdapat dalam al-Quran, pelaksanaan hibah juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: “Nabi SAW menerima dan membalas hadiah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Berikut Syarat dan juga rukun yang harus dipenuhi dalam kontrak Hibah adalah seperti berikut:
1. Pemberi hibah (al-wahib)
Pemberi hibah memerlukan seseorang yang ahliyyah sempurna dalam kecerdasan dan akal, baligh, dan rusyd . Mereka juga mesti memiliki harta yang dihibah dan mempunyai hak penuh terhadap harta tersebut.
2. Penerima hibah (al-mawhub lahu)
Penerima hibah mesti mempunyai kemampuan untuk memiliki harta Mukalaf atau bukan Mukalaf. Sekiranya penerima hibah bukan Mukalaf yang belum matang atau cacat, hibah boleh diserahkan kepada penjaga atau pemegang amanahnya.
3. Harta yang dihibahkan (al-mawhub)
Harta yang akan disumbangkan mestilah halal, bernilai dari segi syarak, dapat dipindahkan kepada penerima hibah di bawah hak milik pemberi, dan wujud pada masa dihibahkan.
4. Lafaz ijab dan kabul (sighah)
Ijab dan kabul adalah kata-kata atau tindakan dengan makna memberi dan menerima hibah.
Hukum Untuk Menarik Balik Atau Membatalkan Hibah
Persoalannya timbul, bolehkah pemberi hibah menarik balik hibah setelah pemberian selesai?
Perkara ini telah menjadi perselisihan di dalam kalangan fuqaha’. Mengikut mazhab Hanafi, hukum pemberi menarik balik hibah yang telah diberi adalah makruh, dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd) kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).
Ia berbeza pada pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki iaitu penarikan balik hibah akan berlaku sekiranya ijab dan kabul berlaku tanpa ada penyerahan harta hibah.
Namun, sekiranya penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) berlaku, maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya.
Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keistimewaan Untuk Pemberi Hibah
1.Pemberian hibah tidak dihadkan kepada sekumpulan orang tertentu. Ia berbeza dengan sistem faraid yang memberikan hak hanya kepada ahli waris-waris tertentu, manakala wasiat mengecualikan waris sebagai penerima wasiat.
2.Kadar pemberian hibah adalah tidak terhad kepada jumlah tertentu. Ia berbeza dengan konsep wasiat iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi sepertiga daripada harta pusaka bersih dan faraid mengikut kadar-kadar tertentu seperti yang diturunkan di dalam al-Quran.
3. Pemberi hibah boleh menentukan sendiri kepada siapa harta dan jumlah hendak diagihkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dari segi kedudukan ekonomi dan keperluan semasa waris-warisnya. Ini kerana, kebiasaannya keperluan seseorang individu dengan individu yang lain adalah berbeza.
Kesimpulannya
Konsep hibah boleh juga dianggap pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam. Konsep hibah amat sesuai diamalkan oleh masyarakat terutama untuk mengagihkan harta kepada pihak-pihak yang tidak berkemampuan tanpa mengehadkan kepada kadar dan golongan tertentu.
Catat Ulasan